Sunday, January 16, 2011

Kisah Lukmanul Hakim, Anaknya dan Seekor Keldai

Mari kita berkongsi satu kisah yang sangat besar pengajaran dan cukup relevan dengan kehidupan kita pada hari ini.. Kisah yang ingin saya kongsikan ialah kisah Luqman al Hakim dengan anaknya dan seekor keldai (baghal). Betapa Lukman al Hakim ini sangat berhikmah dalam memberi pesan dan menyampaikan ilmu kepada anaknya. Dalam mendidik anaknya untuk berhadapan dengan pandangan manusia, Luqman al Hakim telah membawa anaknya beserta seekor keldai ke pasar yang menjadi tumpuan orang ramai. Betapa sesungguhnya dengan pengalaman dan bergelanggang di tengah masyarakat itu juga merupakan guru yang baik dalam memberi ilmu tentang manusia kepada kita.

Kisah bermula dengan Luqman al Hakim telah menaiki keldai itu, anaknya pula yang mengendalikan keldai itu sambil berjalan kaki, apabila mereka melintas di hadapan sekumpulan manusia maka terdengarlah orang ramai berkata :

" Inilah orang tua yang tidak mengasihani anaknya, dia bersenang-lenang di atas keldai, anaknya pula berjalan kaki! "

Maka Luqman al Hakim pun turunlah daripada keldai dan menaikkan anaknya ke atas keldai seraya beliau sendiri pula yang mengendalikan keldai dengan berjalan kaki, sehinggalah mereka melintas di hadapan sekumpulan manusia yang lain lalu terdengar pula orang ramai berkata :

" Sungguh biadab anak itu, orang tua dibiarkan berjalan kaki, dia pula bersenang-lenang di atas keldai! "

Mendengar kata-kata itu, Luqman al Hakim terus menaiki dan menunggangi keldai bersama anaknya sehingga mereka melintasi sekelompok manusia, maka berkata pula orang ramai :

" Lihat! seekor keldai membawa dua orang!, alangkah seksanya keldai itu membawa beban berganda! "

Mendengar percakapan itu, Luqman al Hakim dan anaknya turun dan tidak menaiki keldai itu lalu membiarkan ia kosong saja sepanjang perjalanan sehingga lalu di hadapan segerombolan manusia, orang ramai berkata lagi :

" Sungguh tidak cerdik mereka itu, keldai dibiarkan kosong tidak ditunggangi, tuannya pula berjalan kaki saja!"

--------

Petatah Arab ada berbunyi : " Ridhonnas ghoyatun la tudrak! " yang bermaksud " Kepuasan atau persetujuan dari semua pihak iaitu manusia adalah sesuatu yang tidak mungkin dicapai ". Inilah yang kita katakan pandangan manusia, namun apa yang pasti, kita harus mengutamakan pandangan Allah lebih dari segala-galanya.

Berkata Luqman al Hakim kepada anakandanya selepas kisah keldai di atas :

" Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T sahaja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap sesuatu "

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

Dari Ibnu Abbas RadhiAllahu `anhu, katanya: Pada suatu hari aku berada dibelakang Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam (boncengan), lalu baginda bersabda: "Wahai anak, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan memelihara kamu, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan berada dihadapan kamu, dan jika engkau memohon maka memohonlah kepada Allah, dan jika engkau meminta pertolongan maka mintalah pertolongan kepada Allah, dan ketahuilah bahawa sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk memberikan suatu manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah, dan sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk mendatangkan bencana keatas kamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah. Dan telah diangkat segala pena dan telah kering segala buku." Hadis Riwayat : Imam Tirmidzi

Sabda Rasulullah SAW lagi :

" Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, berkatalah perkara yang baik, atau lebih baik ia diam sahaja " Hadis Riwayat : Bukhari & Muslim

Mudah2an kita semua beroleh pengajaran daripada kisah ini serta lebih berhati-hati dalam berkata dan membuat penilaian terhadap orang di sekeliling kita, barangkali Tuhan melihat dia lebih baik daripada kita. Sesungguhnya tidak ada apa yang membezakan darjat sesama manusia melainkan TAQWA.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Rehat Sejenak